Thursday, 31 March 2011
A journey a thousand miles begin with the first step
Suatu perkara yang dirancang perlu dijalankan.Suatu perubahan yang hendak dibuat perlu ada permulaan
Sebuah cita-cita bukan sekadar angan-angan sahaja.
Semua ini memerlukan langkah pertama.
Memang sukar untuk individu untuk melangkah dalam membuat perubahan atau perancangan. Ini disebabkan terdapat rasa kurang selesa atau takut kepada perubahan.
Kurang selesa kerana mungkin perubahan yang dilakukan akan membawa kesan negatif kepada perancangan.
Rasa takut, kerana takut kepada kegagalan yang mungkin berlaku kepada apa yang dirancangkan.
Ada yang mempunyai rasa rendah diri terhadap cita-cita yang hendak dicapai. Takut dicemuh dan takut diketawa.
dan ada juga yang hanya masih mampu berangan-angan kepada apa yang dicita-cita. Tiada usaha untuk bermula walaupun hanya langkah pertama.
Tanpa langkah pertama tidak mungkin perjalanan beribu batu akan bermula. Tanpa langkah pertama tiada kejayaan akan dicapai.
Rasa takut melangkah merupakan penyebab utama mengapa ramai yang tidak mahu mula melangkah. Rasa takut ini adalah kerana beberapa faktor.
Faktor Pertama
Takut gagal. Ada yang sebelum bermula sudah memikirkan kegagalan daripada bakal usaha yang dirancangkan. Takut gagal ini mendorong untuk tidak melakukan apa-apa langsung.
Takut gagal juga menyebabkan perancangan hanya tinggal perancangan. Perkara ini boleh melemahkan keyakinan diri dan keyakinan orang lain.
Fikiran negatif, aku tidak boleh, aku tidak boleh, aku tidak boleh menguasai diri.
Faktor Kedua
Takut perubahan. Ada pula yang tidak mahu melangkah kerana takut kepada perubahan. Perubahan yang tidak lagi pasti sama ada membawa kepada kebaikan atau keburukan. Perubahan yang belum tahu lagi kesannya positif atau negatif. Yang pastinya ada yang takut perubahan sebelum lagi melangkah.
Faktor Ketiga
Takut cemuhan. Melangkah tidak lagi, sudah jatuh tersungkur angkara orang lain. Cemuhan, kritikan dan kutukan adalah sifat semulajadi manusia terhadap manusia yang lain. Mungkin kerana cemburu, mereka mencemuh. Mungkin kerana dengki mereka mengutuk. Mungkin kerana irihati mereka mengkritik secara negatif. Tanpa kecekalan tiada siapa yang mampu menghadapi cemuhan, kritikan negatif dan kutukan. Maka kecundang jatuh sebelum lagi bermula. Sebelum lagi melangkah.
Faktor-faktor diatas perlu diatasi agar langkah pertama mampu dilakukan. Penyelesaian adalah terletak didalam minda setiap individu yang mahu membuat langkah.
Jika takut kepada kegagalan fikirkan sejenak kepada kejayaan orang lain. Setiap mereka yang berjaya pasti ada kegagalan yang disebaliknya. Malah kegagalan adalah lebih banyak daripada kejayaan namun bagi mereka kegagalan adalah hanya satu nota kecil daripada sebuah novel kejayaan mereka.
Lihatlah kejayaan Rasullah S.A.W menyebarkan Islam itu sendiri. Adakah ia dicapai dengan begitu mudah atau ia dicapai dengan banyak kegagalan. Adakah Baginda terus mengalah?
Bayangkan kesukaran Baginda untuk mengajak penduduk Mekah kepada mengenali Islam pada awal perkembangan Islam itu sendiri,namun Baginda tidak berputus asa membawa ajaran Islam ke tempat lain, ke tempat yang bernama Madinah. Disitulah, Islam berkembang menjadi kerajaan dan akhir secara aman Baginda kembali ke Mekah dan penduduk Mekah menerima Islam akhirnya.
Bagi mereka yang berjaya, tiada dalam kamus hidup mereka erti kegagalan. Bagi yang berjaya, kegagalan yang berlaku mereka untuk membuat penilaian semula dan membuat langkah lain untuk mencapai kejayaan. Mereka tidak takut gagal. Mereka yang berjaya hanya mahu terus melangkah.
Bagi yang takut kepada perubahan. Fikirkan sejenak tentang diri kita ini. Fikirkan sejenak tentang ciptaan Allah ini. Diri kita sendiri.
Bayangkan diri kira sewaktu hari pertama kejadian kita ini. Daripada satu sel berubah menjadi beribu sel, kemudian menjadi daging dan tulang, darah mengalir, jantung berdengup.
Sembilan bulan, kepada ibu berlaku perubahan semata-mata untuk kita dalam kandungan. Sembilan bulan kita berubah pada tahap setiap minggu pasti ada perkembangan.
Apabila kita lahir apakah perkara pertama seorang manusia mahu apabila lahir ke dunia? Mahu cuba melangkah. Mahu cuba mengetahui dan mengenali dunia sekeliling. Perkara ini hanya mampu dilakukan dengan perubahan pada tubuh badan. Kekuatan otot dan tulang. Akhirnya mengiring, kemudian merangkak, kemudian bertatih dan akhirnya pandai bangun sendiri, melangkah dan berjalan.
Lihatlah dan perhatikan diri kita sendiri. Ia memerlukan perubahan agar kita berjaya berdiri dan membuat langkah pertama. Apakah kesan perubahan itu membawa kesan negatif kepada kita? Adakah ia membawa keburukan kepada kita?
Pasti yang ada hanyalah kesan parut jatuh bangun kita belajar berjalan dan jika sekarang ditanya tiada siapa boleh tunjukkan parut bila mula belajar berjalan untuk langkah pertama.
Dan lihat diri kita sekarang ini bermisai, berjanggut, berdada dan sudah matang. Maka fikirkan sejenak, perubahan yang berlaku kepada tubuh kita adalah untuk persediaan untuk kita menjadi lebih matang dan bersedia dalam mencapai kejayaan.
Mengapa kita masih lagi takut perubahan untuk membuat langkah.
Bagi yang takut cemuhan. Cemuhan, kritikan negatif dan kutukan adalah lumrah. Lumrah alam. Ia melambangkan keikhlasan mereka yang memberikan perhatian kepada diri kita. Ia merupakanpertanda bahawa kita diperhatikan.
Mengapa masih takut lagi. Tiada lagi kita keseorangan dalam membuat langkah. Cemuhan mereka adalah keikhlasan hati mereka. Kejujuran mereka dalam penyataan mereka. Jadikan kata-kata mereka sebagai cabaran dan kata-kata semangat. Bahawa apa yang telah dinyatakan tidak sama sekali tidak.
Hanya selepas mencapai kejayaan dengan membuat langkah pertama barulah kita mampu menangkis cemuhan, kritikan negatif dan kutukan, tanpa perlu berkata apa-apa.
Akhir bicara, marilah kita ambil masa sebentar untuk menilaikan perjalanan hidup kita ini, Perjalanan hidup yang beribu batu. Adakah kita sudah ambil langkah pertama, langkah yang betul dalam mencapai kejayaan kepada apa yang kita cita-citakan?
Adakah kita sudah mulakan langkah pertama untuk mencapai cita-cita hidup kita.
Tutuplah mata. Tutuplah mata dan bayangkan cita-cita yang kita mahu capai. Sila tutup mata anda semua selama 10 saat ,bayangkan cita-cita masing-masing, bayangkan IMPIAN, bayangkan kejayaan yang anda sudah kecapi...anda sudah berada dipuncak KEJAYAAN......YEEAAAH!!!!
Jangan buka mata lagi. Dengan kaki kanan, langkahlah setapak ke depan. Buatlah langkah yang pertama. Anda telah membuat langkah pertama cita-cita dan IMPIAN anda.
Labels:
Motivasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment