Showing posts with label 1103 Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label 1103 Bahasa Melayu. Show all posts

Thursday, 24 May 2012

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa



SINOPSIS

Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dari Negeri Bandar Mengkalih dalam pelayaran ke Negeri Semarang Jawa menaiki geliung yang panjang. Semua orang yang berada dalam geliung muntah dan mabuk melainkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Si Kembang Cina serta Awang Sulung yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Dalam pelayaran itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung untuk mengemudi geliung dengan alasan beliau letih, tetapi sebenarnya helahnya untuk duduk berdua-duaan dengan Awang Sulung. Awang Sulung mengemudi geliung tanpa memegang kemudi. 



Perisitwa 1:
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengajak Awang Sulung berlabuh di Pulau Tapai untuk mendapatkan kayu dan air. Geliung berlabuh di Pulau Tapai selama 3 hari. Awang Sulung mengambil nipah dan air laut. Jurumudi menikam ayam dan mengambil keris yang penuh darah mengadap Nakhoda Tua dan memberitahu bahawa dia yang menyelamatkan kapal daripada serangan Puteri Dayang Nuramah. Jurumudi menyuruh Si Kembang Cina memberikan sisa makanan kepada Awang Sulung, tetapi dimarahi oleh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuan Puteri menyuruh Si Kembang Cina menyediakan hidangan istimewa u ntuk Awang Sulung dengan talam beralaskan kain kuning. Air laut yang diambil oleh Awang Sulung menjadi serbat.

Peristiwa 2:
Sebelum meneruskan pelayaran, Nakhoda Tua memberitahu semua anak kapal bahawa mereka akan melalui Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Sesiapa yang berjaya menyelamatkan beliau dan puterinya, orang itu akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Apabila geliung sampai di Pulau Salah Nama, ada lanun, semua anak kapal lari termasuk Jurumudi, Tuan Puteri meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung untuk menentang lanun, Awang Sulung tak mahu dengan alasan kaki dan tangannya sakit. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memberikan limau selipat pagar dan sabun wangi kepada Awang Sulung. Setelah mandi, jelma rupa Awang Sulung yang sebenar. Awang Sulung pun keluar dan menyeru kepada lanun menyebabkan lanun ketakutan mendengar suara Awang Sulung. Awang Sulung meminta ketua lanun mengambil Tuan Puteri, Awang Sulung mengatakan bahawa dia menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa balik ke Bandar Mengkalih. Ketua lanun mengatakan bahawa mereka akan penuhkan geliung dengan dinar emas. Tuan Puteri memberitahu bahawa bukan Awang Sulung yang berhutang kepadanya tetapi Tuan Puteri merupakan tawanan Awang Sulung. Awang Sulung bersetuju dengan kata Tuan Puteri dan mengatakan hutangnya kepada Tuan Puteri telah selesai dan dia boleh pulang ke Bandar Mengkalih. Tuan Puteri berasa sangat sedih lalu hendak terjun ke laut tetapi dihalang oleh hulubalang, lalu pengsan. Awang Sulung berbalas pantun dengan Si Kembang Cina dan Tuan Puteri setelah dia sedar. Setelah lanun pergi, Jurumudi berjumpa dengan Nakhoda Tua dengan keris yang penuh darah lalu memberitahu bahawa dia yang menyelamatkan geliung daripada lanun. Nakhoda Tua mempercayai kata Jurumudi dan memanggil Mualim Cik Mas menikahkan Jurumudi dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Tuan Puteri berasa sangat marah kepada bapanya Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa bapa sudah buta dan pekak, Nakhoda Tua menanya Tuan Puteri sebab dia begitu marah, Tuan Puteri memberitahu bahawa bukan Jurumudi yang menyelamatkan geliung mereka tetapi Awang Sulung. Nakhoda meminta Jurubatu memanggil Awang Sulung tetapi Awang Sulung enggan datang. Nakhoda Tua meminta Tuan Puteri Dayang Seri Jawa memanggil Awang Sulung, Tuan Puteri tidak mahu kerana tiada perempuan yang pergi mencari lelaki (enau mencari sigai/lesung mendapatkan anta). Nakhoda Tua sendiri pergi berjumpa dengan Awang Sulung dan meminta Awang Sulung jangan berkecil hati, kerana Nakhoda Tua sudah tua tidak tahu bahawa Awang Sulung yang menyelamatkan geliung. Awang Sulung dinikahkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.


Peristiwa 3:
Awang Sulung dan Tuan Puteri berlayar sampai di Negeri Pati Talak Terengganu. Pada masa Puteri Pinang Masak berada di peterana. Puteri Pinang Masak memberi cadangan kepada ayahandanya mempersilakan anak-anak geliung naik ke darat. Awang Sulung, Jurubatu dan Bujang Selamat turun ke darat setelah mendapat kebenaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Rakyat Negeri Pati Talak Terengganu berasa hairan kerana isi alam berbunyi sendiri ketika ketibaan Awang Sulung. Raja mengajak Awang Sulung ke balairung seri, tetapi Awang Sulung hendak ke gelanggang sabung dulu. Awang Sulung meminta Bujang Selamat menanyakan adat gelanggang, mereka diberitahu bahawa apa pun boleh Cuma tidak boleh mencabut keris di pinggang, menyinsing lengan, membuang tengkolok dan menyerukan anak lelaki. Awang Sulung dan Bujang Selamat pun mengikat taji di kaki ayam Kinantan Suci, ayam Awang Sulung Kinantan Suci melompat dan menaji leher pihak lawan hingga putus kemudian terbang ke anjung Puteri Pinang Masak dan berkokok 3 kali. Selepas itu, Awang Sulung pun naik ke balairung seri dan disambut oleh orang besar dan seluruh rakyat.

Sunday, 22 January 2012

Novel: Sinopsis Melunas Rindu


SINOPSIS

Fuad ialah seorang pemuda yang berketurunan Cina dan beragama Islam. Selain nama Fuad, dia juga memiliki dua nama lain iaitu Joshua dan Abdul Halim. Ayahnya ialah Robert Lim yang berketurunan Cina dan berkahwin dengan Mariana yang berketurunan Melayu. Walau bagaimanapun, hidupnya penuh dengan liku kerana sejak kecil lagi dia tidak mengenali dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya. Dia dibesarkan oleh Peter Lim iaitu bapa saudaranya yang juga adik kepada Robert Lim iaitu ayah kandungnya yang sebenar. Selepas itu dia menjadi anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah. Fuad berusaha untuk mencari kubur ibunya yang disangkanya sudah meninggal dunia. Fuad mendapat sokongan

Fuad yang telah diminta moral daripada Pak Ismail, Mak Salmah, Peter Lim, Swee Lan, dan Robert Lim sendiri memberikan bantuan untuk mengesan ibunya melalui cincin yang diberikan Robert Lim kepada Mariana. Selain itu, Fuad juga dibantu oleh Pak Said dan Pak Ngah Lias untuk mengesan kubur ibunya itu. Akhirnya Fuad mendapat maklumat bahawa ibunya tidak meninggal dunia dan masih hidup. Fuad telah ditawarkan sebagai guru sandaran tidak terlatih di Sekolah Menengah Seri Setia oleh Cikgu Abas. Setelah mempertimbangkan Fuad telah menerima tawaran tersebut. Di sekolah itu Fuad telah berkenalan dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah yang sama. Fuad sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasnya dan hubungannya menjadi semakin rapat dengan Farhana. Hubungan yang rapat itu akhirnya melahirkan perasaan cinta yang suci antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, perasaan itu terpaksa diubah kerana hubungan mereka sebenarnya adalah sebagai adik-beradik daripada ibu yang sama tetapi berlainan bapa.

Sementara itu Farhana menghadapi konflik dengan Cikgu Zamani di sekolah. Hal ini demikian kerana, Cikgu Zamani selalu mengkritik dan mengutuknya dengan pelbagai kritikan dan kutukan. Farhana pula mengatakan bahawa Cikgu Zamani tidak sepatutnya ponteng kelas dan tidak menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Sepatutnya cikgu Zamani melakukan tindakan yang selaras dengan perkara yang dikatakannya. Dia selalu mengatakan orang lain sahaja yang melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi tidak menyedari bahawa dia sendiri melakukan kesalahan.

Fuad pula menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat terhadap Farhana. Sebagai contohnya, Fuad mengajak Farhana menaiki keretanya dan dia menghantar Farhana ke rumah ibu Farhana di Kuantan. Selain itu, Fuad juga menemani Farhana di hospital ketika ibu Farhana, iaitu Mariana yang diserang sakit lelah dimasukkan ke hospital. Ketika berada di hospital itulah Fuad mengetahui bahawa nama emak Farhana itu sama dengan nama ibu kandungnya selepas terpandang nama emak Farhana pada rekod catatan perubatan ibu Farhana.

Fuad terpaksa menenangkan perasaan Farhana yang agak sukar menerima hakikat bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Fuad cukup bersedia untuk menerima hakikat itu kerana dia sudah biasa hidup dalam keadaan yang penuh dengan cabaran dan masalah. Ayah kandung Fuad juga mengesali perbuatan silamnya yang meninggalkan Mariana selepas tiga bulan berkahwin tanpa sebarang berita. Robert Lim memohon maaf daripada Pak Ismail, Mak Salmah dan juga Mariana atas kesalahan-kesalahannya itu. Fuad juga akhirnya menerima hakikat bahawa Robert Lim ialah ayah kandungnya, Mariana sebagai ibu kandungnya dan juga Farhana sebagai adik kandungnya.

Pantun Empat Kerat (Budi)

Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput,
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak disebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama,
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.



Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan, 
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun,
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun

MAKSUD

RANGKAP 1

Apabila kita tidak mengenang budi dan jasa yang dilakukan oleh seseorang, maka sudah tentu nama baik, budi dan jasa yang dicurahkan akan berkubur atau kita lupakan begitu sahaja dan tidak menjadi ingatan. Lazimnya, budi orang yang berbudi akan di sebut-sebut.

RANGKAP 2

Sudah menjadi adat di dunia bahawa nama orang yang suka berbudi akan sentiasa diperkatakan orang. Walaupun orang itu telah meninggal dunia, namanya tetap dikenang dan diingati selalu.

RANGKAP 3

Betapa pentingnya kita berbudi dan berjasa kerana budi yang kita curahkan itu akan menjadi ingatan orang lain sepanjang masa walaupun budi itu sedikit sahaja.

RANGKAP 4

Setiap budi baik dan jasa yang telah dicurahkan oleh seseorang tetap akan diterima tetapi kebaikannya itu tidak mampu untuk dibalas, dinilai dengan harta benda dan dibayar. Orang yang terhutang budi itu akan mengenang budi yang diterimanya sepanjang hayat.

TEMA

Tema pantun ini tentang kepentingan amalan berbudi baik dan berjasa dalam kehidupan. Setiap budi yang dicurahkan itu akan sentiasa diingati, dikenang dan disebut orang sampai bila-bila.

Thursday, 19 May 2011

KOLEKSI PERIBAHASA DAN SIMPULAN BAHASA

Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah.

Manakala, simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Simpulan bahasa digunakan untuk menjelaskan lagi maksud sesuatu pengucapan' dengan membawa erti yang mendalam. Kandungan maksud simpulan bahasa adalah berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Sebagai contoh; ada hati yang bermaksud ada kemahuan, alas perut pula bermaksud makanan yang dimakan sedikit supaya tidak lapar.

Di sini cekgoo senaraikan contoh-contoh peribahasa, simpulan bahasa dan maksudnya untuk rujukan para pelajar.

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat



Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Pak Najib menyesal tidak mengajar anaknya akhlak yang baik dari kecil lagi. Barulah dia sedar kalau hendak melentur buluh biar dari rebungnya kerana setelah anaknya dewasa tidak mudah untuk mengubah sikap buruk anaknya itu.



Biar mati anak, jangan mati adat


Mak Besah memukul anaknya yang berkelakuan tidak senonoh itu kerana baginya biar mati anak, jangan mati adat.



Ajak ajak ayam
Dia mempelawa saya makan sekadar ajak-ajak ayam

Tuesday, 5 April 2011

Puisi Tradisional...Pantun

Pantun adalah karangan berangkap yang menggunakan bahasa yang indah dan mempunyai maksud tersurat dan tersirat. Pantun dikategorikan berdasarkan fungsinya, iaitu pantun kanak-kanak, pantun budi, pantun sindiran, pantun jenaka, pantun nasihat, pantun teka-teki dan sebagainya.
Pantun terbahagi kepada pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, sepuluh kerat, dua belas kerat dan pantun berkait.

Antara pantun popular di kalangan rakyat Malaysia:

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana nak sama cik adik sorang.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan. 

Siakap senohong,
Gelama ikan berduri,
Bercakap bohong,
lama-lama mencuri

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan dia makan,
Suruh mengaji dia tak mahu.

Sebab pulut santan terasa,
Sebab mulut badan binasa.


Antologi Dirgahayu Bahasaku

PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai,
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami,
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kali tersangkut di tepi batang,
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.

MAKSUD

Rangkap Pertama
Seseorang yang sedang kecewa tidak menunjukkan kesedihannya itu dihadapan orang lain.

Rangkap Kedua
Nasib yang menimpa seseorang bukan disebabkan oleh faktor keturunan.

Rangkap Ketiga
Seseorang dilupakan apabila kekasihnya mendapat teman baru.

Tema
Untung nasib manusia di dunia ini yang adakalanya mengalami nasib tidak baik.

Persoalan
  1. Orang yang suka memendam perasaan.
  2. Nasib baik atau buruk yang dialami oleh seseorang.
  3. Kesedihan yang ditanggung oleh seseorang yang ditinggalkan oleh kekasihnya.
Nilai Murni
  1. Kesabaran dalam menghadapi masalah atau penderitaan hidup.
  2. Mengenang jasa ibu yang telah melahirkan kita.
  3. Reda / Tabah menerima suratan takdir.
Pengajaran
  1. Kita hendaklah bersabar apabila menghadapi masalah.
  2. Janganlah kita suka menyimpan perasaan sedih kerana akan menggangu urusan kehidupan.
  3. Kita haruslah memilih pasangan yang setia agar tidak dikecewakan.

Peribahasa Lambang Budaya

Disini Nadi Bidang Bahasa ingin kongsikan beberapa peribahasa nilai murni yang pelajar-pelajar boleh pelajari dan fahami maksudnya. Diharapkan perkongsian ini akan banyak membantu pelajar memahami peribahasa melayu yang sering diungkapkan dan digunakan di dalam penulisan, pemahaman dan perbualan. Banyak lagi yang akan dikongsikan pada masa yang akan datang.

Tema: Baik Hati / Berbudi Bahasa / Berhemah Tinggi
  • Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang - Merendah diri lebih baik daripada bersikap sombong.
  • Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali - Melakukan kebaikan biarlah berpatutan tetapi elakkan daripada berbuat jahat.
  • Hancur badan dikandung tanag, budi yang baik dikenang juga - Seseorang yang berbuat bakti dan jasa akan sentiasa dikenang walaupun telah meninggal dunia.
  • Hidup kayu berubah, hidup manusia biar berjasa - Berbuat baik semasa hidup untuk diri sendiri dan masyarakat.
  • Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau - Orang yang berketurunan baik, ke mana-mana dia pergi akan baik juga jadinya.
  • Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua - Orang yang baik biar di mana-mana sekalipun akan dimuliakan juga.