Tuesday 5 April 2011

Antologi Dirgahayu Bahasaku

PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai,
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami,
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kali tersangkut di tepi batang,
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.

MAKSUD

Rangkap Pertama
Seseorang yang sedang kecewa tidak menunjukkan kesedihannya itu dihadapan orang lain.

Rangkap Kedua
Nasib yang menimpa seseorang bukan disebabkan oleh faktor keturunan.

Rangkap Ketiga
Seseorang dilupakan apabila kekasihnya mendapat teman baru.

Tema
Untung nasib manusia di dunia ini yang adakalanya mengalami nasib tidak baik.

Persoalan
  1. Orang yang suka memendam perasaan.
  2. Nasib baik atau buruk yang dialami oleh seseorang.
  3. Kesedihan yang ditanggung oleh seseorang yang ditinggalkan oleh kekasihnya.
Nilai Murni
  1. Kesabaran dalam menghadapi masalah atau penderitaan hidup.
  2. Mengenang jasa ibu yang telah melahirkan kita.
  3. Reda / Tabah menerima suratan takdir.
Pengajaran
  1. Kita hendaklah bersabar apabila menghadapi masalah.
  2. Janganlah kita suka menyimpan perasaan sedih kerana akan menggangu urusan kehidupan.
  3. Kita haruslah memilih pasangan yang setia agar tidak dikecewakan.

No comments:

Post a Comment